Sunday, 17 December 2023

Kaum Wanita Sepatutnya Dimuliakan

Rujukan dari Buku Untukmu Wanita oleh Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

Apa yang neutral atau 'harus' hukumnya akan dibiarkan terbuka (tanpa sebarang larangan) sebagai rahmat dan kemudahan kepada umat manusia. Fakta ini datang dari Nabi saw:
Sesungguhnya Allah telah memfardhukan pelbagai perkara wajib maka janganlah kamu mengabaikannya, dan telah menetapkan had bagi beberapa keharusan, maka janganlah kamu melewatinya, dan juga telah mengharamkan beberapa perkara, makan janganlah kamu mencerobohinya, dan juga telah mendiamkan hukum bagi sesuatu perkara, sebagai rahmat kemudahan buat kamu dan bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu menyusahkan dirimu dengan mencari hukumnya.
(Riwayat ad-Dar Qutni; ad-Dar Qutni: Sahih, an-Nawawi: Hasan)


Sesungguhnya bagi kamu ganjaran pahala berdasarkan kepada kadar keletihan dan belanja ikhlas kamu.
(Riwayat ad-Dar Qutni dan al-Hakim)

Menurut Imam ibn Hajar di dalam Fath al-Bari, hadis ini pernah disebut oleh Nabi saw kepada Aisyah r.ha berkenaan umrah yang dilakukan oleh Aisyah. Nabi saw diriwayatkan bersabda:
Sesungguhnya ganjaran pahalamu (wahai Aisyah) ketika umrahmu ini adalah berdasarkan kadar kesukaran dan wang yang dibelanjakan.

Imam an-Nawawi pula berkata:
Zahir hadis ini menunjukkan ganjaran dan pahala dalam ibadah akan bertambah dengan bertambahnya keletihan dan belanja yang dikeluarkan.

❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤
Menurut hukum asal dalam Islam, haram hukumnya bagi lelaki yang sudah berumah tangga (tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam) tidak bekerja mencari nafkah. Wanita tidak pula diharamkan untuk bekerja jika menjaga hukum yang ditentukan Islam. Jika wanita bekerja, pendapatan itu adalah milik mereka dan tiada sebarang tanggungjawab untuk memberi makan kepada suami kecuali atas dasar ihsan sahaja.

Kaum wanita sepatutnya lebih dimuliakan dengan diberi kerehatan yang cukup di rumah sambil membina generasi pimpinan yang soleh pada masa hadapan, iaitu anak-anak dan keluarganya.


Mendidik anak-anak dengan cemerlang adalah sumbangan TERHEBAT kaum wanita untuk negara yang tidak mampu disaingi sama sekali oleh kaum lelaki. Wanita dikira silap apabila meletakkan standard dan 'silibus' kejayaan lelaki (yang ditentukan Allah tentunya) sebagai standard kejayaannya juga. Sedangkan, 'silibus' dan standard kejayaan wanita adalah tidak sama dengan lelaki dalam banyak hal. Akibatnya, berbondong-bondonglah wanita bekerja kerana menganggapnya sebagai satu KEJAYAAN dan kemuliaan baginya.

❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤
Sayidatina Khadijah r.ha. adalah peniaga yang berjaya. Tetapi adakah sudah ditinjau kaedah beliau berjaya? Adakah beliau masih aktif berniaga selepas Nabi saw dilantik menjadi Rasul? Adakah disedari tatkala itu Islam belum disempurnakan kerana wahyu masih diturun sedikit demi sedikit? Adakah Aisyah dan isteri-isteri Nabi yang lain juga berniaga? Apakah sahabat-sahabat wanita berniaga dan meninggalkan suaminya di rumah?

Namun begitu, keperluan wanita bekerja hari ini kerana timbul masalah kekurangan kaum lelaki yang berkemampuan untuk menjalankan semua tugasan sepatutnya oleh mereka. Adakah kita sedar, kelemahan anak-anak lelaki dalam hal ini berpunca dari rumah?

Kerana itu, pendidikan di rumah yang terbaik ialah seorang wanita, iaitu IBU. Pendidikan di rumah teramat penting bagi mencorak sikap dan sifat anak-anak di hari kemudian, terutamanya kemampuan anak lelaki.

❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤
Antara kesilapan kerap yang dilakukan oleh kaum wanita apabila keluar bekerja hari ini ialah berwangi-wangian dengan pelbagai jenis minyak wangi sewaktu keluar dari rumahnya. Nabi saw mengingatkan kaum wanita dengan sabdanya:
Mana-mana wanita yang berwangian dan kemudian lalu di khalayak lelaki bagi menarik lelaki dengan wangiannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang (tertarik lalu) memandang adalah mata berzina.
(Riwayat Abu Daud, dan At-Tirmizi)

Apabila sudah bekerja juga, banyak aurat yang terbuka di sana sini berpaksikan alasan hujah 'panas' - sukar nak jaga, sukar nak bergerak, permintaan bos dan syarikat, untuk nampak elegan, supaya tak nampak macam mayat berjalan dan lain-lain lagi.

No comments:

Post a Comment