Showing posts with label Untukmu Wanita. Show all posts
Showing posts with label Untukmu Wanita. Show all posts

Monday, 20 May 2024

Nafkah Isteri Yang Bekerja

KEPUTUSAN MAJLIS FIQH SEDUNIA DALAM PERSIDANGAN YANG KE-16 BERTEMPAT DI DUBAI PADA 9-14 APRIL 2005

(TERJEMAHAN)


PEMISAHAN TANGGUNGAN HARTA DI ANTARA SUAMI ISTERI
Isteri mempunyai kelayakkan sepenuhnya dan hak harta yang tersendiri. Menurut Hukum Syariah, isteri mempunyai hak penuh terhadap (harta) yang diusahakan sama ada untuk menggunakannya, memiliki sesuatu, membelanjakannya sementara suami tidak punyai sebarang kuasa ke atas harta isterinya itu. Isteri juga tidak perlu mendapat izin suami dalam pemilikan hartanya itu dan cara membelanjakannya.


NAFKAH PERKAHWINAN
Seorang isteri berhak menerima nafkah yang telah ditetapkan mengikut kemampuan suami bersesuaian dengan uruf yang benar, juga kebiasaan masyarakat setempat yang diterima syarak. Kewajipan memberi nafkah ini tidak gugur kecuali jika berlaku 'nusyuz' (di pihak isteri)


ISTERI KELUAR BEKERJA
Tanggungjawab asas bagi seorang isteri ialah mengurus keluarga, mendidik anak-anak dan memberi sepenuhnya perhatian terhadap generasi masa depan. Walau bagaimanapun, jika perlu, isteri berhak untuk bekerja dalam bidang yang bersesuaian dengan tabiat dan kemahirannya menuntut uruf yang diiktiraf syarak dengan syarat hendaklah dia beriltizam (menjaga) hukum-hukum agama.

Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri yang bekerja tidak gugur menurut Islam, selagi tidak berlaku ketika keluarnya isteri tersebut untuk bekerja menyebabkan berlakunya isteri 'nusyuz', tatkala itu gugur kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya yang 'nusyuz'


ISTERI TURUT SERTA MEMBIAYAI PERBELANJAAN KELUARGA
Menurut pandangan Islam, dari awal mula lagi, isteri tidak wajib berkongsi peranan membiayai nafkah (perbelanjaan) yang diwajibkan ke atas suami. Suami juga tidak harus mewajibkan isteri membantunya (dengan bekerja).

Kerelaan seorang isteri untuk turut berperanan membantu perbelanjaan keluarga merupakan suatu perkara yang dibenarkan menurut pandangan syarak demi menjayakan makna bantu membantu dan bertolak ansur di antara suami isteri.

Diharuskan untuk membuat persefahaman dan persepakatan di antara suami isteri tentang cara pengurusan pendapatan mereka termasuk pendapatan yang diperoleh isteri.

Jika keluarnya isteri bekerja memerlukan kos tambahan, maka isteri menanggung sendiri kos tersebut (seperti pengangkutan dan lain-lain)


KERJA SEBAGAI SYARAT
Seorang isteri dibenarkan untuk meletakkan syarat pada akad perkahwinannya bahawa ia hendaklah dibenarkan bekerja. Apabila suami redha dengan syarat itu, ia menjadi kemestian baginya untuk membenarkan ia (isteri bekerja setelah kahwin). Syarat ini hendaklah dinyatakan secara jelas ketika akad.

Suami pula harus meminta isteri meinggalkan kerjayanya walaupun sebelum ini ia membenarkannya, iaitu sekiranya meninggalkan pekerjaan itu dibuat atas tujuan kepentingan keluarga dan anak-anak.

Tidak harus, pada pandangan syarak bagi seorang suami untuk menjadikan keizinannya kepada isteri untuk bekerja dengan syarat isteri hendaklah membantu perbelanjaan keluarga yang diwajibkan ke atas suami; tidak harus juga suami mensyaratkan isteri memberi sebahagian daripada pendapatnya kepada suami.

Suami tidak boleh memaksa isteri untuk keluar bekerja.


PERKONGSIAN ISTERI DALAM PEMILIKAN HARTA
Apabila isteri benar-benar turut menyumbang harta dan pendapatannya bagi mendapatkan dan memiliki rumah, aset tetap atau sebarang projek perniagaan, ketika itu isteri mempunyai hak perkongsian pemilikan terhadap rumah atau projek tersebut mengikut kadar harta yang disumbangkannya.


PENYALAHGUNAAN HAK DALAM BIDANG PEKERJAAN
Sebuah perkahwinan itu mempunyai beberapa kewajiban bersama yang patut ditanggung oleh pasangan suami isteri dan ia ditentukan oleh Syariah Islam dengan jelas. Justeru, hendaklah perhubungan antara suami isteri dibina dengan landasan keadilan, tolak ansur dan saling menyayangi. Sebarang tindakan yang melangkaui batasan berkenaan adalah haram pada kaca mata syarak.

Seorang suami tidak harus menyalahgunakan haknya sebagai suami untuk menghalang isteri bekerja atau memintanya meninggalkan kerjayanya sekiranya ia hanya bertujuan untuk memudaratkannya (isteri); atau diyakini tindakan itu hanya akan menyebabkan keburukan melebihi kepentingan yang diperolehi.

Demikian juga halnya ke atas isteri (tidak harus menyalahgunakan keizinan dan hak yang diberikan), iaitu jika ia berterusan dengan kerjayanya hingga menyebabkan mudarat kepada suami dan keluarga atau melebihi maslahat yang diharapkan

Monday, 4 March 2024

Sejarah Wanita Yang Bekerja Pada Zaman Nabi saw


Bekerja dan mencari nafkah adalah WAJIB bagi lelaki yang tiada sebarang keuzuran tubuh dan akal bagi menanggung isteri dan keluarganya. Manakala, wanita pada asasnya, hukum Islam meletakkannya untuk berperanan di rumah dan keluarga. Walau bagaimanapun, wanita tidak di larang bekerja di luar rumah jika terdapat keperluan serta mampu menepati syarat-syarat yang ditetapkan Islam. 

Antara para wanita yang bekerja pada zaman Nabi saw:
  1. Ummu Atiyah contohnya, bertugas mengurus jenazah wanita islam di Madinah, merawat lelaki yang cedera di medan peperangan di samping menyediakan makanan untuk pejuang-pejuang Islam.
  2. Rufaydah al-Aslamiyyah, yang merupakan doktor wanita Islam pertama yang Nabi saw sediakan sebuah khemah khas di Masjid Nabi untuk tujuan rawatan bagi pejuang-pejuang Islam yang cedera ketika peperangan Khandaq.
  3. Ar-Rabaiyyi’ bint Mu’awwiz dan Umm Sulaim yang bertugas di luar rumah untuk memberi minuman dan makanan kepada pejuang-pejuang Islam
  4. Ash-Shifa’ binti Abdullah pula pernah bertugas sebagai guru yang mengajar wanita-wanita Islam membaca dan menulis ketika Nabi Muhammad saw masih hidup.
  5. Umm Mihjan pula bertugas sebagai pembantu yang membersihkan Masjid Nabi. 
  6. Khalifah ‘Umar ibn al-Khattab juga pernah melantik wanita bernama Ash-Shifa’ untuk menjalankan tugas al-hisbah atau auditor syariah di pasar ketika itu bagi memastikan segala urusan yang dijalankan menepati Syariah.

Menurut Prof. Dr Md Uqlah al-Ibrahim, syarat-syarat wanita diberikan keharusan bekerja adalah:

  1. Terdapat keperluan yang menyebabkan ia terpaksa keluar daripada tanggungjawab asalnya seperti:
    • Kematian suami dan memerlukan belanja hidup
    • Memberikan bantuan kepada ibu bapa yang sangat miskin atau suami yang uzur tubuhnya
    • Membantu perniagaan suami yang memerlukan banyak tenaga dan kos
    • Mempunyai keistimewaan yang hebat sehinggakan kemahiran itu sangat diperlukan oleh masyarakat umum
    • Mestilah keluar bekerja dengan menutup aurat dan sentiasa menjauhi fitnah di tempat kerja
  2. Mestilah kerja itu tidak memerlukannya berdua-duaan dan bercampur secara bebas dengan lelaki yang bukan mahramnya
  3. Mendapar izin wali dan suami
  4. Mestilah kerjaya tidak menyebabkan terganggu dan terhentinya tanggungjawab di rumah terhadap anak dan suami
  5. Tujuan dan niat utama bekerja bukanlah kerana keasyikan dan keghairahan kepada mengumpul harta dan niat semata-mata untuk menyaingi lelaki.
  6. Mestilah berhenti sekiranya terdapat keperluan dan kecacatan dalam pendidikan anak-anak
  7. Digalakkan ia dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja dan bukan selama-lamanya. Sepatutnya berhenti sejurus suami mempunyai kemampuan menanggung seluruh keluarga dengan baik KECUALI jika mempunyai kualiti yang amat diperlukan oleh masyarakat umum. 


Suami isteri yang bekerja adalah diterima dalam Islam selagi mereka tahu dan bijak merancang pendidikan dan penjagaan anak-anak dan TIDAK DIGALAKKAN isteri berterusan bekerja tanpa sebab-sebab mendesak. Jika sekadar disandarkan oleh perasaan untuk lebih bermewah dan mudah membeli-belah (sehingga menggadaikan masa depan anak dan keluarga) dengan menggunakan duit sendiri, ini tidak diterima oleh Islam.

Sumber rujukan Untukmu Wanita oleh Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Sunday, 17 December 2023

Kaum Wanita Sepatutnya Dimuliakan

Rujukan dari Buku Untukmu Wanita oleh Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

Apa yang neutral atau 'harus' hukumnya akan dibiarkan terbuka (tanpa sebarang larangan) sebagai rahmat dan kemudahan kepada umat manusia. Fakta ini datang dari Nabi saw:
Sesungguhnya Allah telah memfardhukan pelbagai perkara wajib maka janganlah kamu mengabaikannya, dan telah menetapkan had bagi beberapa keharusan, maka janganlah kamu melewatinya, dan juga telah mengharamkan beberapa perkara, makan janganlah kamu mencerobohinya, dan juga telah mendiamkan hukum bagi sesuatu perkara, sebagai rahmat kemudahan buat kamu dan bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu menyusahkan dirimu dengan mencari hukumnya.
(Riwayat ad-Dar Qutni; ad-Dar Qutni: Sahih, an-Nawawi: Hasan)


Sesungguhnya bagi kamu ganjaran pahala berdasarkan kepada kadar keletihan dan belanja ikhlas kamu.
(Riwayat ad-Dar Qutni dan al-Hakim)

Menurut Imam ibn Hajar di dalam Fath al-Bari, hadis ini pernah disebut oleh Nabi saw kepada Aisyah r.ha berkenaan umrah yang dilakukan oleh Aisyah. Nabi saw diriwayatkan bersabda:
Sesungguhnya ganjaran pahalamu (wahai Aisyah) ketika umrahmu ini adalah berdasarkan kadar kesukaran dan wang yang dibelanjakan.

Imam an-Nawawi pula berkata:
Zahir hadis ini menunjukkan ganjaran dan pahala dalam ibadah akan bertambah dengan bertambahnya keletihan dan belanja yang dikeluarkan.

❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤
Menurut hukum asal dalam Islam, haram hukumnya bagi lelaki yang sudah berumah tangga (tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam) tidak bekerja mencari nafkah. Wanita tidak pula diharamkan untuk bekerja jika menjaga hukum yang ditentukan Islam. Jika wanita bekerja, pendapatan itu adalah milik mereka dan tiada sebarang tanggungjawab untuk memberi makan kepada suami kecuali atas dasar ihsan sahaja.

Kaum wanita sepatutnya lebih dimuliakan dengan diberi kerehatan yang cukup di rumah sambil membina generasi pimpinan yang soleh pada masa hadapan, iaitu anak-anak dan keluarganya.


Mendidik anak-anak dengan cemerlang adalah sumbangan TERHEBAT kaum wanita untuk negara yang tidak mampu disaingi sama sekali oleh kaum lelaki. Wanita dikira silap apabila meletakkan standard dan 'silibus' kejayaan lelaki (yang ditentukan Allah tentunya) sebagai standard kejayaannya juga. Sedangkan, 'silibus' dan standard kejayaan wanita adalah tidak sama dengan lelaki dalam banyak hal. Akibatnya, berbondong-bondonglah wanita bekerja kerana menganggapnya sebagai satu KEJAYAAN dan kemuliaan baginya.

❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤
Sayidatina Khadijah r.ha. adalah peniaga yang berjaya. Tetapi adakah sudah ditinjau kaedah beliau berjaya? Adakah beliau masih aktif berniaga selepas Nabi saw dilantik menjadi Rasul? Adakah disedari tatkala itu Islam belum disempurnakan kerana wahyu masih diturun sedikit demi sedikit? Adakah Aisyah dan isteri-isteri Nabi yang lain juga berniaga? Apakah sahabat-sahabat wanita berniaga dan meninggalkan suaminya di rumah?

Namun begitu, keperluan wanita bekerja hari ini kerana timbul masalah kekurangan kaum lelaki yang berkemampuan untuk menjalankan semua tugasan sepatutnya oleh mereka. Adakah kita sedar, kelemahan anak-anak lelaki dalam hal ini berpunca dari rumah?

Kerana itu, pendidikan di rumah yang terbaik ialah seorang wanita, iaitu IBU. Pendidikan di rumah teramat penting bagi mencorak sikap dan sifat anak-anak di hari kemudian, terutamanya kemampuan anak lelaki.

❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤
Antara kesilapan kerap yang dilakukan oleh kaum wanita apabila keluar bekerja hari ini ialah berwangi-wangian dengan pelbagai jenis minyak wangi sewaktu keluar dari rumahnya. Nabi saw mengingatkan kaum wanita dengan sabdanya:
Mana-mana wanita yang berwangian dan kemudian lalu di khalayak lelaki bagi menarik lelaki dengan wangiannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang (tertarik lalu) memandang adalah mata berzina.
(Riwayat Abu Daud, dan At-Tirmizi)

Apabila sudah bekerja juga, banyak aurat yang terbuka di sana sini berpaksikan alasan hujah 'panas' - sukar nak jaga, sukar nak bergerak, permintaan bos dan syarikat, untuk nampak elegan, supaya tak nampak macam mayat berjalan dan lain-lain lagi.

Wednesday, 13 December 2023

Aurat Wanita


Rujukan: Untukmu Wanita oleh Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Allah berfirman:
"Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuanmu, serta wanita-wanita yang beriman, agar melabuhkan pakaiannnya bagi menutup seluruh tubuhnya, yang demikian lebih sesuai dikenali, maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani" 
(Al-Ahzab ayat 59)

Menurut Dr. Sheikh Yusof al-Qaradhawi dalam kitab Al-Halal wal Haram fil Islam:
Sebahagian perempuan jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikan misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini di ganggu oleh lelaki fasik (jahat) dan yang suka berzina. Kemudian, turunlah ayat dia atas yang memerintahkan kepada perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara ('afifah) serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik.

❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤
Firman Allah:
"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak berpikul-pikul, daripada emas dan perak; kuda yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)"
(Surah Ali-Imran ayat 14)

Ayat di atas jelas menyebut syahwat utama lelaki adalah wanita. Nabi saw juga pernah bersabda:
Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudharat kepada lelaki selain wanita.
(Riwayat al-Bukhari, 7/11, Bab Zikir & Doa)

❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤
Hadis daripada Jabir bin Abdullah:
Saya bertanya kepada Rasulullah saw tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi saw, 'Palingkanlah pandanganmu itu!'
(Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)

❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤
Firman Allah:
..........hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir...........
(Surah An-Nur ayat 31)




















Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda:
Ada dua golongan daripada ahli neraka yang belum pernah saya lihat iaitu:
Kaum yang membawa cemeti seperti seekor sapi yang mereka pakai untuk memukul orang (penguasa yang kejam)
Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar bonggol unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian
(Riwayat Muslim)

❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤
Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di dalamnya).
(Riwayat Al-'Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no. 5043; Kanzuk Ummak, no. 41245.)

Menurut imam Mujahid, hadis ini berlaku pada ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaanya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi saw dan para sahabat, maka dengan segeranya Nabi saw memalingkan wajahnya. Maka para sahabat berkata, dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu Rasulullah saw memuji dan menyebut hadis di atas.

❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤
Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya, tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki.

Firman Allah:
Maka janganlah kamu berbicara dengan lembut manja kerana boleh menimbulkan keinginan orang yang di dalam hatinya ada penyakit; sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik, sesuai dan sopan
(Surah Al-Ahzab ayat 32)

❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤
Perihal syaitan mensasarkan dosa 'buka aurat' sebagai dosa pilihan utamanya ada disebut dalam al-Quran daripada firman Allah:
Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup daripada (pandangan) mereka, sambil ia berkata (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga)
(Surah Al-A'raf ayat 20)




















Menghukum berdasarkan zahir ini bertepatan dengan hadis:
Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk diselesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujah daripada sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Sesiapa yang telah kujatuhkan hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujah), maka janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka.
(Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan lain-lain; Rujuk Naylul, 8/632, no. 3920.)

❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤
Sesiapa yang melopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.
(Riwayat Ahmad dan lain-lain: Sahih)

Melopori ialah apabila seseorang itu melopori pembukaan auratnya pada hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya dapat dosa. Pastinya si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang.