Monday, 4 March 2024

Sejarah Wanita Yang Bekerja Pada Zaman Nabi saw


Bekerja dan mencari nafkah adalah WAJIB bagi lelaki yang tiada sebarang keuzuran tubuh dan akal bagi menanggung isteri dan keluarganya. Manakala, wanita pada asasnya, hukum Islam meletakkannya untuk berperanan di rumah dan keluarga. Walau bagaimanapun, wanita tidak di larang bekerja di luar rumah jika terdapat keperluan serta mampu menepati syarat-syarat yang ditetapkan Islam. 

Antara para wanita yang bekerja pada zaman Nabi saw:
  1. Ummu Atiyah contohnya, bertugas mengurus jenazah wanita islam di Madinah, merawat lelaki yang cedera di medan peperangan di samping menyediakan makanan untuk pejuang-pejuang Islam.
  2. Rufaydah al-Aslamiyyah, yang merupakan doktor wanita Islam pertama yang Nabi saw sediakan sebuah khemah khas di Masjid Nabi untuk tujuan rawatan bagi pejuang-pejuang Islam yang cedera ketika peperangan Khandaq.
  3. Ar-Rabaiyyi’ bint Mu’awwiz dan Umm Sulaim yang bertugas di luar rumah untuk memberi minuman dan makanan kepada pejuang-pejuang Islam
  4. Ash-Shifa’ binti Abdullah pula pernah bertugas sebagai guru yang mengajar wanita-wanita Islam membaca dan menulis ketika Nabi Muhammad saw masih hidup.
  5. Umm Mihjan pula bertugas sebagai pembantu yang membersihkan Masjid Nabi. 
  6. Khalifah ‘Umar ibn al-Khattab juga pernah melantik wanita bernama Ash-Shifa’ untuk menjalankan tugas al-hisbah atau auditor syariah di pasar ketika itu bagi memastikan segala urusan yang dijalankan menepati Syariah.

Menurut Prof. Dr Md Uqlah al-Ibrahim, syarat-syarat wanita diberikan keharusan bekerja adalah:

  1. Terdapat keperluan yang menyebabkan ia terpaksa keluar daripada tanggungjawab asalnya seperti:
    • Kematian suami dan memerlukan belanja hidup
    • Memberikan bantuan kepada ibu bapa yang sangat miskin atau suami yang uzur tubuhnya
    • Membantu perniagaan suami yang memerlukan banyak tenaga dan kos
    • Mempunyai keistimewaan yang hebat sehinggakan kemahiran itu sangat diperlukan oleh masyarakat umum
    • Mestilah keluar bekerja dengan menutup aurat dan sentiasa menjauhi fitnah di tempat kerja
  2. Mestilah kerja itu tidak memerlukannya berdua-duaan dan bercampur secara bebas dengan lelaki yang bukan mahramnya
  3. Mendapar izin wali dan suami
  4. Mestilah kerjaya tidak menyebabkan terganggu dan terhentinya tanggungjawab di rumah terhadap anak dan suami
  5. Tujuan dan niat utama bekerja bukanlah kerana keasyikan dan keghairahan kepada mengumpul harta dan niat semata-mata untuk menyaingi lelaki.
  6. Mestilah berhenti sekiranya terdapat keperluan dan kecacatan dalam pendidikan anak-anak
  7. Digalakkan ia dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja dan bukan selama-lamanya. Sepatutnya berhenti sejurus suami mempunyai kemampuan menanggung seluruh keluarga dengan baik KECUALI jika mempunyai kualiti yang amat diperlukan oleh masyarakat umum. 


Suami isteri yang bekerja adalah diterima dalam Islam selagi mereka tahu dan bijak merancang pendidikan dan penjagaan anak-anak dan TIDAK DIGALAKKAN isteri berterusan bekerja tanpa sebab-sebab mendesak. Jika sekadar disandarkan oleh perasaan untuk lebih bermewah dan mudah membeli-belah (sehingga menggadaikan masa depan anak dan keluarga) dengan menggunakan duit sendiri, ini tidak diterima oleh Islam.

Sumber rujukan Untukmu Wanita oleh Dr. Zaharuddin Abd Rahman

No comments:

Post a Comment