Monday, 20 May 2024

Nafkah Isteri Yang Bekerja

KEPUTUSAN MAJLIS FIQH SEDUNIA DALAM PERSIDANGAN YANG KE-16 BERTEMPAT DI DUBAI PADA 9-14 APRIL 2005

(TERJEMAHAN)


PEMISAHAN TANGGUNGAN HARTA DI ANTARA SUAMI ISTERI
Isteri mempunyai kelayakkan sepenuhnya dan hak harta yang tersendiri. Menurut Hukum Syariah, isteri mempunyai hak penuh terhadap (harta) yang diusahakan sama ada untuk menggunakannya, memiliki sesuatu, membelanjakannya sementara suami tidak punyai sebarang kuasa ke atas harta isterinya itu. Isteri juga tidak perlu mendapat izin suami dalam pemilikan hartanya itu dan cara membelanjakannya.


NAFKAH PERKAHWINAN
Seorang isteri berhak menerima nafkah yang telah ditetapkan mengikut kemampuan suami bersesuaian dengan uruf yang benar, juga kebiasaan masyarakat setempat yang diterima syarak. Kewajipan memberi nafkah ini tidak gugur kecuali jika berlaku 'nusyuz' (di pihak isteri)


ISTERI KELUAR BEKERJA
Tanggungjawab asas bagi seorang isteri ialah mengurus keluarga, mendidik anak-anak dan memberi sepenuhnya perhatian terhadap generasi masa depan. Walau bagaimanapun, jika perlu, isteri berhak untuk bekerja dalam bidang yang bersesuaian dengan tabiat dan kemahirannya menuntut uruf yang diiktiraf syarak dengan syarat hendaklah dia beriltizam (menjaga) hukum-hukum agama.

Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri yang bekerja tidak gugur menurut Islam, selagi tidak berlaku ketika keluarnya isteri tersebut untuk bekerja menyebabkan berlakunya isteri 'nusyuz', tatkala itu gugur kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya yang 'nusyuz'


ISTERI TURUT SERTA MEMBIAYAI PERBELANJAAN KELUARGA
Menurut pandangan Islam, dari awal mula lagi, isteri tidak wajib berkongsi peranan membiayai nafkah (perbelanjaan) yang diwajibkan ke atas suami. Suami juga tidak harus mewajibkan isteri membantunya (dengan bekerja).

Kerelaan seorang isteri untuk turut berperanan membantu perbelanjaan keluarga merupakan suatu perkara yang dibenarkan menurut pandangan syarak demi menjayakan makna bantu membantu dan bertolak ansur di antara suami isteri.

Diharuskan untuk membuat persefahaman dan persepakatan di antara suami isteri tentang cara pengurusan pendapatan mereka termasuk pendapatan yang diperoleh isteri.

Jika keluarnya isteri bekerja memerlukan kos tambahan, maka isteri menanggung sendiri kos tersebut (seperti pengangkutan dan lain-lain)


KERJA SEBAGAI SYARAT
Seorang isteri dibenarkan untuk meletakkan syarat pada akad perkahwinannya bahawa ia hendaklah dibenarkan bekerja. Apabila suami redha dengan syarat itu, ia menjadi kemestian baginya untuk membenarkan ia (isteri bekerja setelah kahwin). Syarat ini hendaklah dinyatakan secara jelas ketika akad.

Suami pula harus meminta isteri meinggalkan kerjayanya walaupun sebelum ini ia membenarkannya, iaitu sekiranya meninggalkan pekerjaan itu dibuat atas tujuan kepentingan keluarga dan anak-anak.

Tidak harus, pada pandangan syarak bagi seorang suami untuk menjadikan keizinannya kepada isteri untuk bekerja dengan syarat isteri hendaklah membantu perbelanjaan keluarga yang diwajibkan ke atas suami; tidak harus juga suami mensyaratkan isteri memberi sebahagian daripada pendapatnya kepada suami.

Suami tidak boleh memaksa isteri untuk keluar bekerja.


PERKONGSIAN ISTERI DALAM PEMILIKAN HARTA
Apabila isteri benar-benar turut menyumbang harta dan pendapatannya bagi mendapatkan dan memiliki rumah, aset tetap atau sebarang projek perniagaan, ketika itu isteri mempunyai hak perkongsian pemilikan terhadap rumah atau projek tersebut mengikut kadar harta yang disumbangkannya.


PENYALAHGUNAAN HAK DALAM BIDANG PEKERJAAN
Sebuah perkahwinan itu mempunyai beberapa kewajiban bersama yang patut ditanggung oleh pasangan suami isteri dan ia ditentukan oleh Syariah Islam dengan jelas. Justeru, hendaklah perhubungan antara suami isteri dibina dengan landasan keadilan, tolak ansur dan saling menyayangi. Sebarang tindakan yang melangkaui batasan berkenaan adalah haram pada kaca mata syarak.

Seorang suami tidak harus menyalahgunakan haknya sebagai suami untuk menghalang isteri bekerja atau memintanya meninggalkan kerjayanya sekiranya ia hanya bertujuan untuk memudaratkannya (isteri); atau diyakini tindakan itu hanya akan menyebabkan keburukan melebihi kepentingan yang diperolehi.

Demikian juga halnya ke atas isteri (tidak harus menyalahgunakan keizinan dan hak yang diberikan), iaitu jika ia berterusan dengan kerjayanya hingga menyebabkan mudarat kepada suami dan keluarga atau melebihi maslahat yang diharapkan

No comments:

Post a Comment